Perkongsian Resepi Sedap dan Mudah Setiap Hari

Resepi Nasi Minyak Terengganu Dengan Kermok Daging Dan Acar Merah. Ala-Ala Makan Kenduri Tau!

0 637

Resepi nasi minyak Terengganu sangat terkenal dikalangan ramai. Kebiasaannya, nasi minyak terengganu ini dihidang bila ada majlis kawin dan juga dihari raya. Nasi minyak Terengganu sesuai dihidang bersama ayam gulai, ayam masak merah dan acar.

Nasi minyak Terengganu juga terkenal dengan campuran rempah ratus yang terkenal di sana. Contohnya penggunaan rempah kermok. Yang duduk Terengganu boleh cari rempah ni kat Pasar Payang, Pasar Chabang atau kedai-kedai runcit.

Kalau takde rempah kermok, boleh guna rempah gulai ataupun rempah kari. Mungkin rasa masakan sedikit berbeza dengan masakan yang menggunakan rempah kermok. Rempah kromok adalah rempah kurma yang telah dicampurkan dengan bawang, halia dan lengkuas.

Bila ada majlis kenduri kendara di Terengganu, biasanya nasi minyak akan dilawankan dengan daging kermok. Dan keunikan dalam masakkan daging kermok ini adalah tiada penggunaan santan sama sekali.

Seperti yang kita tahu, masakkan yang tidak menggunakan santan ini, lebih tahan lama berbanding yang menggunakan santan. Jadi, apa kata kita follow resepi nasi minyak Terengganu yang dikongsikan oleh Cik Puan NaNie ini.

 

Resepi Nasi Minyak Terengganu

Wajib cuba resepi ni sebab ada resepi rahsia yang perlu anda tahu dalam penyediaan acar merah. Apa tunggu lagi, jom kita lihat bahan memasak yang diperlukan dalam penyediaan nasi minyak, daging kermok dan acar merah ini.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
Bahan untuk kermok daging :
  • Rempah 4 beradik
  • 1/2 biji bawang besar dimayang
  • Daun pandan
  • 1 kg daging (boleh je nak campur tulang)
  • 1 genggam bawang goreng (goreng sendiri lagi sedap)
  • 3-4 sudu besar cili boh
  • Air asam jawa
  • 3-4 sudu besar Sos tomato
  • 1/2 cawan Susu cair
  • Sedikit nisan/ gula melaka
  • Gula
  • Garam
  • Perasa
  • Rempah Kermok*

*Kalau takde rempah kermok, boleh guna rempah gulai ataupun rempah kari.

Bahan untuk nasi minyak :
  • Rempah 4 beradik
  • 1/2 biji bawang besar dimayang
  • 1 inci halia di potong nipis
  • Daun pandan
  • 1/2 cawan susu cair
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 6 pot beras basmathi (dibasuh bersih, direndam 30 minit dan ditoskan airnya)
  • 6 pot air (guna pot sukat beras tadi)
  • 2 sudu besar mentega
  • 3 – 4 sudu besar minyak
  • 5 sudu besar garam
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu besar oren sunquick

Bahan untuk acar merah :
  • Timun batang
  • Sengkuang
  • Nenas
  • Kacang tanah (ditumbuk) – Optional
  • Bijan – Optional
  • Sos acar (bahan-bahannya seperti dibawah)

 

Bahan untuk sos acar :
  • 20 keping nisan/ gula melaka
  • 1 peket besar asam jawa (+ 1 liter air)
  • 2 peket cili boh
  • 2-3 cawan kurma (nanti blend dengan air asam jawa)
  • Sedikit garam

*Campur semua dan masak sehingga pekat. Guna api slow je. Sukatan ini untuk sos yang banyak.

CARA PENYEDIAAN NASI MINYAK TERENGGANU : 
Cara penyediaan kermok daging :

▶️ Panaskan minyak, tumiskan rempah 4 beradik dan daun pandan hingga wangi.

▶️ Masukkan bawang besar yang dimayang dan tumis biar layu atau sedikit kekuningan.

▶️ Masukkan cili boh dan tumis garing. Kemudian, masukkan rempah kermok. Tumis sampai garing.

▶️ Masukkan daging, bawang goreng yang diramas sampai hancur, sos tomato dan susu cair. Gaul sebati. Masak hingga rempah mesra dengan daging atau orang ganu panggil “mati air”.

▶️ Bila daging dah mesra dengan rempah tu, masukkan air asam jawa, nisan, gula, garam dan perasa. Masak sehingga daging empuk. Boleh masukkan ubi kentang kalau suka. Siap daging kermok!

Cara penyediaan nasi minyak :

▶️ Panaskan minyak dan mentega hingga cair dan panas.

▶️ Tumiskan rempah 4 beradik dan daun pandan hingga wangi.

▶️ Masukkan bawang besar dan halia. Tumis hingga wangi dan sedikit kekuningan.

▶️ Masukkan susu cair dan sos tomato. Gaul sekejap baru masukkan air, garam, gula dan oren sunquick.

▶️ Tunggu mendidih, baru masukkan beras dan biarkan sehingga masak.

▶️ Dah masak baru titiskan pewarna kuning. Jangan kacau, tutup dengan tudung periuk dan biarkan sahaja. Dah lama, baru kacau manja supaya nasi tak hancur. Siap nasi minyak!

Cara penyediaan acar merah :

▶️ Gaul sebati semua bahan untuk acar. Boleh tambah mangga, jeruk anggur dan kismis kalau suka.

▶️ Nak sedap lagi masukkan kacang tanah tumbuk dan bijan. Siap acar merah!

▶️ Siap untuk dihidang!

 

BACA JUGA: Resepi Kek Choc Moist Lava Cheese Kukus. Kalau Jual Mesti Ada Yang Repeat Order!

 

Dah siap semua hidangan. Lengkap hidangan nasi minyak Terengganu kita dengan kermok daging dan acar merah. Boleh tambahkan penyeri dalam hidangan Nasi Minyak kita dengan telur rebus yang dicurah sos tomato.

Resepi acar tu boleh dibuat bila-bila masa je. Nak ratah macam tu je pun sedaap tau. Turut disertakan resepi sos yang digunakan untuk gaul acar buah. Sos tu boleh disimpan dalam peti dan tahan lama.

Sukatan sos yang dikongsikan dalam kuantiti yang banyak. Boleh agak-agak kalau nak kurangkan. Semoga resepi nasi minyak Terengganu ini bermanfaat buat anda semua. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.

Open