Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Resepi Rojak Ayam Pantai Timur. Pedas-Pedas Dan Sedikit Manis Kuahnya, Memang Sedap!
Rojak ayam popular kat belah Pantai Timur. Kuahnya hampir sama dengan kuah pesembor belah Utara. Rasa kacangnya pedas-pedas dan sedikit manis. Kuahnya sedap! Jom follow resepi rojak ayam Pantai Timur ni kat sini. Confirm korang suka!
Makan rojak ayam ni sekali, pasti korang nak lagi! Keenakan rojak ayam ni bergantung dengan rasa sedap pada kuahnya. Bahan lain yang digunakan hanya perlu di goreng atau dicelur sahaja. Kuah rojak ayam yang sedap mesti lengkap dengan rasa manis dan pedas.
Penyediaan rojak ayam ni mungkin agak renyah untuk sesetengah orang. Banyak jugak step dan bahan yang nak disediakan. Kena masak ayam goreng, sedia sayur-sayuran, buat kuah, rebus telur dan goreng cucur. Dah nama pun rojak, mesti la banyak bahan kan.
Rojak ayam versi Pantai Timur ni siap letak mee rebus lagi di dalamnya. Ayam pulak perlu dimasak kunyit macam biasa. Letak sedikit serbuk cili dan bahan perasa untuk dapatkan rasa ayam goreng yang sedap di makan dengan bahan rojak yang lainnya.
Resepi rojak ayam Pantai Timur ni telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook iaitu Encik Muliadi Ramli. Ramai jugak yang share resepi ni. Fuh, makan dengan kuahnya panas-panas memang sedap la. Bertambah-tambah dibuatnya!
RESEPI ROJAK AYAM
Korang yang tak pernah makan rojak ayam ni lagi, wajib cuba buat kat rumah. Jom kita tengok satu persatu bahan-bahan yang diperlukan dalam penyediaannya. Bahan-bahan dan step penyediaannya seperti dibawah.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
Bahan untuk ayam goreng kunyit :
- Ayam 1/2 ekor (dipotong 2)
- Serbuk kunyit
- Serbuk cili
- Garam dan perasa
Bahan untuk kuah rojak :
- Kacang tanah 300g (disangai atau goreng tanpa minyak hingga masak)
- Cili kering (dibuang biji dan rebus dalam 2 senduk)
- Nisang 1 keping
- Air asam jawa 1 mangkuk
- Garam gula secukup rasa
- Perasa
- Serai 1 batang (diketuk)
Bahan kisar halus :
- Bawang besar 2 biji
- Bawang merah 6 biji
- Bawang putih 4 biji
- Halia 2 inci
- Lengkuas 1/2 inci
- Udang kering 2 sb
- Buah keras 1 biji
- Serai 1 batang
Bahan untuk cucur rojak :
- Gandum 2 cwn
- Soda bikarbonat 1 sk
- Telur 1 biji
- Daun kucai
- Daun bwg dan sup
- Taugeh
- Garam
- Serbuk kunyit 1 sk
Bahan untuk sayur rojak :
- Taugeh (dicelur)
- Timun (dipotong panjang)
- Sengkuang (dipotong panjang)
- Salad
- Cili besar merah dan hijau
Bahan-bahan lain :
- Mee kuning 1 bungkus (dicelur sebelum dihidang)
- Telur 5 biji direbus (kalau suka boleh digoreng telur selepas direbus)
- Tauhu (disapu garam kunyit, kemudian digoreng dan dipotong ketika dihidangkan)
- Kentang 2 biji (direbus dan dipotong ketika dihidangkan)
CARA PENYEDIAAN ROJAK AYAM :
Cara penyediaan ayam kunyit :
▶️ Ayam 1/2 ekor dipotong 2. Kemudian disapukan dengan serbuk kunyit, serbuk cili, garam dan perasa.
▶️ Digoreng garing. Bila ayam siap digoreng boleh dipotong kecil-kecil. Siap!
Cara penyediaan kuah rojak :
▶️ Kacang tanah disangai atau goreng tanpa minyak hingga masak.
▶️ Asingkan kacang dari selaput kulitnya. Kemudian, dikisar tapi jangan terlalu hancur.
▶️ Panaskan minyak, masukkan serai. Bila naik bau, masukkan cili kisar.
▶️ Tumis hingga pecah minyak, kemudian masukkan bahan kisar halus.
▶️ Tumis lagi sampai pecah minyak. Bila kuah sudah cantik warna merah, masukkan kacang tanah yang dikisar tadi.
▶️ Kacau rata. Masukkan pulak nisang, air asam jawa dan tambahkan dua cawan air.
▶️ Renihkan dengan api kecil hingga kuah nampak pekat.
▶️ Masukkan garam, gula dan bahan perasa. Kemudian, tutup api. Siap!
Cara penyediaan cucur rojak :
▶️ Kesemua bahan disatukan, masukkan air dan gaul rata.
▶️ Ketepikan untuk 30 minit. Kemudian, boleh digoreng garing dan ranggup.
▶️ Bila cucur siap digoreng bolehlah digunting kecil-kecil. Siap!
BACA JUGA : Resepi Kek Lapis Miri Rasa Asam Manis. Confirm Sedap Dan Tak Muak Makan!
Siap semua dan boleh hidang! Agak banyak jugak bahan dan step penyediaan rojak ayam ni kan. Kalau nak buat makan-makan kat rumah dengan family, korang boleh selit menu ni sekali. Berbaloi jugak buat kerja banyak untuk hidangan makan beramai-ramai.
Tuang kuah kacang ikut kuantiti yang korang nak. Potong-potong semua bahan untuk mudah korang nak rojakkan dan makan nanti. Layan betul makan rojak ayam ni. Tak rugi korang try buat nanti. Jarang jumpa rojak ni orang jual kat luar selain di Pantai Timur.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Muliadi Ramli kerana sudi berkongsi resepi rojak ayam Pantai Timur ini di Facebook. Betul-betul menyelerakan ye. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat kita semua. Selamat mencuba!