Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Resepi Tteokbokki Korea Yang Mudah Dan Lazat. Buat Secara Homemade Lagi Jimat Lagi Puas Hati!
Pernah dengar resepi tteokbokki Korea? Tteokbokki ialah makanan Korea yang sangat popular yang diperbuat daripada kek beras yang lembut, kek ikan dan sos cili merah yang manis. Di Korea ianya merupakan makanan yang terjual di gerai tepi jalan.
Asalnya ia dikenali sebagai tteok jjim dan merupakan hidangan hirisan kek beras, daging, telur dan perisa. Tteokbokki juga biasanya disebut sebagai teokbokki, ddeokbokki, topokki, dan dukboki.
Tteokbokki versi moden adalah kemerahan dan pedas. Untuk pengetahuan mereka yang tak tahu resepi ini, versi asalnya adalah berwarna perang dan rasa biasa. Ianya juga merupakan masakan istimewa di Korea.
Ada banyak lagi jenis tteokbokki namun tteokbokki beras yang paling terkenal. Resepi ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna facebook iaitu Cik Puan Nur Haziqah. Dengan menggunakan resepi ini anda boleh menyediakannya secara homemade.
Kek beras cuma perlu dimasak dengan menggunakan tepung beras atau tepung pulut. Ianya diadun menjadi doh dengan campuran tepung ubi. Diperasakan dengan sedikit garam dan direbus dengan air yang ditambah sedikit minyak.
RESEPI TTEOKBOKKI KOREA
Tujuan penggunaan minyak dalam rebusannya adalah untuk mengelakkan kek beras melekat antara satu sama lain semasa direbus nanti. Selepas ianya direbus, perlu dibilas sebelum dihidang dengan kuah sos.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
Bahan untuk kek beras :
- 250 gm tepung beras atau tepung pulut (jika nak kenyal)
- 2 sb tepung ubi
- 250ml air mendidih
- Sedikit garam
Bahan untuk kuah :
- 2 ulas bawang putih (dicincang)
- 2 sb serbuk cili
- 3 sb sos cili (Cap jagung)
- 1/2 ketul kiub ikan bilis
- 3 sb air tepung jagung
- 1 sb gula
- Air dalam 1 1/2 cawan (untuk dijadikan kuah)
CARA PENYEDIAAN TTEOKBOKKI KOREA :
Cara penyediaan kek beras :
▶️ Gaulkan tepung beras atau tepung pulut, tepung ubi dan garam.
▶️ Masukkan air dan kacau guna senduk.
▶️ Bila dah suam uli sampai menjadi doh. Kalau doh keras tambahkan air. Bentukkan adunan menjadi lonjong.
▶️ Didihkan air bersama sedikit minyak supaya adunan yang direbus tak melekat. Rebus kek beras sehingga timbul.
▶️ Dah timbul terus angkat dan bilas dengan air untuk hilangkan lendir tepung.
▶️ Biarkan sejuk dan potong-potongkan.
Cara penyediaan kuah sos :
▶️ Campurkan bawang putih, serbuk cili, sos cili, gula dan kacau hingga menjadi paste. Ketepikan.
▶️ Masukkan 1 1/2 cawan air ke dalam periuk.
▶️ Masukkan pula kiub ikan bilis dan kacau sehingga larut.
▶️ Kemudian, masukkan paste yang kita buat tadi dan biarkan mendidih.
▶️ Masukkan sosej, bebola atau apa-apa yang anda suka dan renehkan selama 2 minit. Lalu masukkan kek beras dan air tepung jagung dan renehkan lagi selama 2 minit.
▶️ Sebelum dihidang taburkan sedikit bijan, daun bawang dan telur rebus.
BACA JUGA: Resepi Nasi Ayam Yang Mudah Dan Gerenti Sedap. Rasa Sekali Mesti Nak Lagi!
Siap untuk dihidang! Lepas ni tak perlu makan diluar lagi. Tteokbokki ini juga boleh dimakan di mana-mana restoran hidangan Korea yang ada di Malaysia ini. Seperti restoran Korea di Aeon mall dan IOI mall.
Kebanyakkan resepi ini menggunakan tepung pulut tapi anda boleh follow resepi ori dari Korean yang menggunakan tepung beras. Teksturnya akan sebijik tteokbokki yang terjual di Aeon mall.
Tteokbokki juga lebih sedap bila dihidang dengan telur rebus. Hidangan yang simple tapi cukup menyelerakan. Semoga resepi tteokbokki Korea ini bermanfaat buat anda semua. Selamat mencuba!