Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Resepi Ayam Masak Bali Viral Rasa Sebijik Makan Kat Kenduri. Rugi Tak Cuba Memang Sedap!
Resepi ayam masak bali pernah viral sehingga 18.3k perkongsian. Ianya merupakan hidangan yang dimasak dengan menggunakan lebih banyak kari dan juga serai. Cara memasaknya hampir sama dengan cara memasak ayam masak merah.
Rasa dan teksturnya yang seakan masakan ala-ala kenduri memang cukup menyelerakan. Hidangan ini sangat sedap dimakan dengan nasi sedang-sedang panas. Confirm terangkat!
Yang membezakan resepi ini dengan ayam masak merah ialah bahan-bahan yang digunakan. Penggunaan serai dan daun kari yang banyak telah membuatkan rasanya terus berbeza daripada resepi ayam masak merah.
Resepi ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna facebook iaitu Cik Puan Fazreen Saini. Kepada ibu-ibu yang tengah buntu nak masak apa dengan ayam yang ada dalam peti anda boleh cuba resepi viral ini.
Selain rasanya yang enak, ada banyak khasiat yang terdapat dalam penggunaan serai dan daun kari dalam hidangan ini. Antaranya ialah daun kari dapat mengawal paras gula dalam darah dan boleh mencegah sakit jantung.
RESEPI AYAM MASAK BALI
Yang baru pertama kali nak mencuba resepi ini, wajib ikut sebijik-sebijik bahan dan cara penyediaannya seperti dibawah. Tujuannya adalah untuk mendapatkan bau dan aroma tu lagi terangkat. Ok jom masak!
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
- 1 ekor Ayam
- 6-8 batang serai dititik
- 8 helai daun kari
- 3 sudu besar gula pasir
- 2 sudu kecil garam
- Kicap manis 5 kali titik
- Serbuk kunyit
- Garam dan secukup rasa
- Air asam jawa
Bahan-bahan kisar :
- Segenggam cili kering yang direbus (kalau nak pedas boleh lebihkan)
- 5-6 biji bawang besar
- Seinci halia
- Sedikit belacan
- Satu labu bawang putih
* semua bahan kisar perlu dikisar halus
CARA PENYEDIAAN AYAM MASAK BALI :
▶️ Bersihkan ayam. Lumur dengan kunyit dan garam (Tak perlu banyak)
▶️ Goreng dalam 10-15 minit (jangan garing sangat, kalau garing nanti ayam jadi liat dan tak juicy). Ketepikan.
▶️ Minyak menggoreng ayam tadi digunakan untuk goreng serai. Sehingga menjadi warna coklat kekuningan.
▶️ Masukkan daun kari. Kacau dan goreng. Masak atas api sederhana dan jangan sampai hangus.
▶️ Masukkan bahan yang dikisar dan biarkan garing. Biarkan sampai pecah minyak.
▶️ Masukkan kicap 5 kali titik, garam dan secukup rasa. Yang suka manis boleh letak gula sikit. Kemudian gaul sebati.
▶️ Masukkan ayam yang dah digoreng tadi.
▶️ Gaul rata dan letak air asam jawa dan biarkan dalam 8-10 minit.
▶️ Sesuaikan rasa dan kepekatan yang diingini. Siap untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Cara Buat Bingka Ubi Kayu Atau Bengkang Yang Mudah Dan Sedap. Wajib Cuba!
Mudah dan tak leceh pun kan. Ditambah pula rasanya yang sangat sedap sampai menjilat jari! Makan dengan lempeng, roti dan lemang pun sedap.
Mesti dah ramai antara anda yang sudah bosan dengan hidangan ayam yang sama. Jadi apa kata kita cuba tukar selera orang dalam rumah dengan mencuba resepi ni. Mesti mereka suka.
Semoga resepi ayam masak bali yang viral ini bermanfaat buat kita semua. Nak buat hidangan dipagi raya nanti pun boleh. Bila anda mencubanya sekali, anda pasti nak lagi. Selamat mencuba!