Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Cara Buat Bingka Ubi Kayu Atau Bengkang Yang Mudah Dan Sedap. Wajib Cuba!
Pernah tak anda makan bingka ubi kayu atau juga dikenali sebagai bengkang? Kuih ini merupakan sejenis kuih tradisional yang dibuat daripada ubi kayu. Ia dimasak tanpa menggunakan tepung. Sesuai dijadikan hidangan minum petang.
Bila ada majlis-majlis keramaian, sesetengah orang akan menjadikan kuih bingka ubi kayu ini sebagai salah satu menu kuih muih mereka. Rasanya yang lembut dan lemak manis cukup disukai ramai.
Bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan kuih ini hanya menggunakan bahan tempatan. Kuih ini menggunakan ubi kayu yang telah disagat dicampur dengan sagu ubi kayu, santan dan juga perasa.
Resepi bingka ubi kayu ini telah dikongsikan oleh Cik Puan No Or melalui laman facebooknya. Hasil perkongsian beliau ramai yang telah mencuba dan ternyata menjadi. Resepi ini juga cuma menggunakan sukatan cawan sahaja.
Penggemar resepi ini bolehlah mencubanya. Boleh dijadikan hidangan berbuka puasa untuk keluarga. Memandangkan sekarang bulan ramadha, nak buat banyak-banyak pun tidak menjadi masalah kita boleh bagi jiran sebelah rumah merasa. Dapat pahala.
RESEPI BINGKA UBI KAYU
Jom kita lihat bahan-bahan yang diperlukan dan bagaimana cara penyediaannya. Jom masak bingka ubi kayu.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
- 4 cawan ubi kayu yang sudah diparut
- 2 cawan santan(cawan kotak pun boleh)
- 1 cawan gula (kalau suka manis boleh tambahkan lagi)
- 1 sdk garam
- Sedikit pewarna kuning
CARA PENYEDIAAN BINGKA UBI KAYU :
▶️ Ubi kayu dibuang kulit dan diblend halus.
▶️ Perah dan mendakkan air perahan. Tunggu sekejap, anggaran 5 minit macam tu, kemudian buang semua air.
▶️ Bila nampak ada macam tepung putih dalam bekas, itu lah sagu. Campurkan sagu tadi ke dalam ubi yang telah diperah.
▶️ Masakkan gula dan 2 cawan santan atas api. Kacau hingga gula larut. Matikan api. Sejukkan sekejap.
▶️ Kemudian, masukkan garam dan sedikit pewarna kuning.
▶️ Masukkan air santan tadi kedalam ubi dan kacau sebati. Dah sekata, masukkan dalam loyang untuk di bakar.
▶️ Sebelum di bakar, loyang perlu disapukan minyak atau margerin untuk elakkan melekat.
▶️ Bakar dalam masa 1 jam 30 min, pada suhu 180C api atas bawah (ikut oven masing-masing)
▶️ Sudah masak, sejuk kan dulu. Dah elok sejuk baru potong dan hidangkan.
BACA JUGA: Resepi Memasak Siakap 3 Rasa Ala Thai Yang Sama Macam Kedai. Confirm Puas Hati!
Siap untuk dihidang! Mudahkan. Kalau dulu-dulu nak masak bingka kayu ni mesti renyah kan. Yalah dulu perlu menggunakan dapur kayu lepas tu upgrade sikit guna oven bakar atas dapur gas.
Sekarang nak masak bingka kayu ubi tak serenyah orang dulu-dulu. Best kan bila dapat makan makanan tradisional macam ni. Kuih bingka kayu ubi ni lagi sedap bila ada kerak-kerak. kerak tu yang membuatkannya lagi enak.
Resepi bingka ubi kayu dah ada, bolehlah anda membuatnya sendiri dirumah untuk juadah berbuka puasa. Walaupun ianya kuih tradisional tapi sehingga kini masih disukai ramai. Semoga resepi ini bermanfaat buat kita semua. Selamat mencuba!