Perkongsian Resepi Sedap dan Mudah Setiap Hari

Resepi Kuih Koci Asli Zaman Dulu Yang Lembut Dan Sedap. Boleh Dijadikan Hidangan Minum Petang!

0 20,404

Resepi kuih koci merupakan kuih tradisional yang sangat popular di Malaysia. Kuih koci  diperbuat daripada tepung pulut dan mempunyai inti kelapa manis bercampur gula pasir dan juga gula melaka didalamnya.

Di Malaysia, ianya popular terutama di kawasan pantai timur iaitu di Kelantan dan juga Terengganu. Dizaman moden ini, kuih koci akan disalut dengan santan sebelum dibalut dengan daun pisang dan dikukus.

Doh kuih koci boleh dipelbagaikan contohnya kuih koci labu yang menggunakan buah labu kuning dan ada juga kuih koci pulut hitam yang menggunakan tepung beras pulut hitam.

Kuih koci memiliki tekstur yang lembut dan lembik. Rasanya juga sangat tradisional dengan rasa manis dan berlemak. Ia telah membuatkan kuih koci ini diminati dari dulu hingga sekarang.

Kuih koci biasanya dihidangkan untuk pencuci mulut dalam acara kenduri. Ianya juga boleh dijadikan juadah minum petang. Jom kita lihat resepi kuih koci yang dikongsikan oleh Cik Puan Salina Ismail melalui laman facebooknya.

 

RESEPI KUIH KOCI

Kuih koci kali ini tidak menggunakan santan, dimana ianya merupakan kuih koci asli zaman dulu. Tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat bahan-bahan yang digunakan dan bagaimana cara penyediaannya. Sudah pasti ia disukai seisi keluarga anda.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
Bahan untuk doh :
  • 500g Tepung pulut
  • 10 helai Daun pandan (dipotong kasar)
  • 1 cwn Air
  • Garam

 

Bahan untuk inti :
  • 500g Kelapa parut
  • Gula Melaka
  • Gula pasir

 

Bahan lain :
  • Daun pisang
  • Minyak

CARA PENYEDIAAN KUIH KOCI :
Cara penyediaan doh :

▶️ Blend halus daun pandan bersama secawan air. Tapis dan ambil airnya sahaja.

▶️ Masukkan tepung pulut ke dalam satu bekas. Tuang air larutan garam dan air pandan sedikir demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat pada bekas.

▶️ Masukkan juga sedikit air jika perlu untuk menjadikan doh yang cantik.

▶️ Siap menjadi doh, rehatkan doh 10 minit.

Cara penyediaan inti :

▶️ Masak gula melaka serta gula pasir bersama air. Masak hingga gula larut.

▶️ Masukkan kelapa parut. Masak hingga inti agak kering sedikit. Angkat dan sejukkan.

Cara penyediaan kuih koci :

▶️ Ambil sehelai daun pisang, sapu dengan minyak pada permukaan daun pisang tadi.

▶️ Kemudian, ambil sejemput doh dan leperkan, letak satu camca teh inti.

▶️ Tutup inti dengan doh. Kemudian, lipat daun seperti biasa.

▶️ Bila siap, susun dalam kukusan dan kukus selama 10 minit atas air menggelegak.

▶️ Siap untuk dihidang!

 

BACA JUGA: Cara Masak Teresek Jantung Pisang Yang Menjadi Idaman Kalbu. Bertambah Nasi Dibuatnya!

 

Bila siap dikukus, anda boleh membiarkannya sejuk seketika sebelum dihidang. Kalau tak ada idea minum petang anda boleh cuba resepi kuih koci yang dikongsikan ini. Buat sendiri lebih puas hati.

Kuih koci juga boleh dijumpai di pasar malam ataupun gerai yang menjual sarapan pagi. Kalau nak masukkan dadih santan dalam kulit pisang, anda boleh buat dadih dengan menggunakan santan pekat, tepung jagung dan juga tepung gandum.

Jangan lupa masukkan sedikit garam ya. Dan masak sehingga pekat sebelum dicedok masuk dalam kulit pisang. Semoga resepi kuih koci ini bermanfaat buat anda semua. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.

Open