Perkongsian Resepi Sedap dan Mudah Setiap Hari

Cara Mudah Buat Pais Ikan Tenggiri Yang Sedap. Resepi Simple Dan Wajib Untuk Dicuba!

0 2,133

Nampaknya banyak resepi yang dikongsikan hari ini menggunakan ikan sebagai bahan utamanya. Sama juga dengan resepi pais ikan tenggiri yang super sedap ini. Ikan tenggiri digunakan sebagai bahan utama dalam menu yang dikongsikan hari ini.

Pais atau juga dikenali sebagai pepes merupakan makanan khas masyarakat Jawa Barat, Indonesia. Bahan asasnya ialah ikan dan daun pisang. Makanan ini cukup terkenal kerana identik dengan daun pisang.

Secara modennya, pais ikan cuma perlu dimasak dengan menggunakan air fryer ataupun dibakar dalam oven sahaja. Makanan belapik daun pisang ini sangat disukai ramai dan ianya juga sama seperti otak-otak dan satar.

Bahan lain yang dicampur dalam daun pisang cuma perlu dikisar halus sahaja. Berbeza sedikit sengan otak-otak dan satar. Ikan tidak perlu dihancurkan dan diasingkan tulang dengan isinya.

Resepi pais ikan tenggiri ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna facebook iaitu Cik Puan Nurul Akmar Ab Hamid Anne. Sangat mudah cara penyediaannya. Dan boleh dihidang bila-bila masa sahaja.

 

RESEPI PAIS IKAN TENGGIRI

Selain menggunakan ikan tenggiri, menu pais juga sangat terkenal dengan penggunaan ikan kembung. Tetapi, dalam masakan perlu diingatkan bahawa ikan yang digunakan haruslah menggunakan ikan yang masih segar.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
Bahan kisar : 
  • 4 biji Bawang merah
  • 3 ulas Bawang putih
  • Sebesar ibu jari Halia besar
  • Sebesar ibu jari Kunyit
  • Semangkuk kecil Cili kering (dikisar)

 

Bahan hiris : 
  • Sebatang Serai (hiris halus)
  • Sehelai Daun kunyit (hiris halus)

 

Bahan lain :
  • Ikan tenggiri 5 keping (kalau besar belah dua)
  • Sesudu besar Air perahan asam jawa
  • Limau kasturi sebiji (lumur pada ikan dan biarkan 5 minit bagi ia resap)
  • Sesudu kecil Maggie secukup rasa
  • Garam secukup rasa
  • Sesudu besar Gula (boleh kurangkan)

CARA PENYEDIAAN PAIS IKAN TENGGIRI :

▶️ Gaul rata ikan dengan air asam jawa.

▶️ Blend semua bahan kisar. Campurkan dengan bahan hiris, garam, gula dan serbuk perasa. Gaul rata.

▶️ Seterusnya, Masukkan ikan dan bahan kisar yang digaul rata tadi ke dalam daun pisang dan lidikan bahagian hujungnya.

▶️ Bakar guna air fryer selama 11 minit pada suhu 180C. Boleh juga dibakar menggunakan oven.

▶️ Siap untuk dihidang.

 

BACA JUGA: Cara Mudah Buat Keropok Lekor Cheese Homemade. Guna Ikan Temenung Je, Memang Sedap!

 

Pais ini boleh dimakan ratah begitu saja, selain dimakan dengan nasi putih panas. Penggunaan daun pisang  akan menaikkan lagi aroma masakan bila ikan dibakar.

Menurut wikipedia, pais atau pepes memiliki kandungan nutrien yang baik untuk kesihatan kerana dalam proses pembuatan, pepes ikan tidak menyerap minyak yang banyak.

Teknik membakar tidak perlu menggunakan arang lagi. Gunakan cara moden lebih mudah. Semoga resepi pais ikan tenggiri ini bermanfaat buat anda semua. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.

Open