Perkongsian Resepi Sedap dan Mudah Setiap Hari

Resepi Lengkap Nasi Ayam Kukus Ayam Berempah Serta Kerutuk Daging! Wajib Ada Sambal Belacan Padu!

0 5,985

Sebelum ni rajin juga beli nasi kukus ayam berempah. Sebab suka betul dengan rempah-rempah yang digunakan. Rasa puas hati bila dapat makan nasi kukus yang padu!

Tak semua nasi kukus ayam berempah ni sedap. Kena pandai pilih sebab yelah tukang masak kan berbeza-beza. Nak yang paling best sekali, ada akak kita sorang ni kongsikan bukan nasi kukus je.

Tapi dia kongsikan resepi nasi kukus, ayam berempah, kuah, gulainya, kerutuk daging dan juga sambal belacan sekali. Haa! Yang ni baru betul-betul padu kata orang.  Puas dapat makan semua lauk ada.

Terima kasih kepada Cik Puan Tahrunnisah Jali sebab kongsikan resepi yang best dan lengkap step by step ni dekat wall facebook beliau.

Jom saya kongsikan resepi satu per satu ye.

 

RESEPI NASI KUKUS

Bahan-bahan yang digunakan adalah :

  • ½ mangkuk beras ( untuk 1 orang makan)
  • Air untuk sukatan beras

 

CARA PENYEDIAAN NASI KUKUS:

▶ Basuh beras bersih-bersih dan toskan. ½ mangkuk beras adalah untuk seorang makan.

▶ Jadi buat beberapa bekas untuk kiraan orang ye.

▶ Masukkan air dalam mangkuk tersebut sehingga ¾ mangkuk tu

▶ Panaskan periuk pengukus. Dan kukus sehingga masak.

▶ Bahagian bawah, lapikkan dengan daun pandan supaya wangi. Boleh juga masukkan dalam air kukusan tersebut.

 

RESEPI AYAM GORENG BEREMPAH

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

  • 1 ekor ayam dipotong kecil atau mengikut kesukaan anda (dibersihkan dan disalut tepung gandum sekejap untuk hilangkan bau hanyir)
  • 2 tangkai daun kari dibersihkan dan diramas/dicarik
  • 1 sudu besar cili kisar
  • sedikit kunyit (terpulang nak yang hidup atau serbuk)
  • garam dan gula sikit (pengganti ajinomoto) nak guna ajinomoto pun terpulang
  • 3 sudu besar tepung jagung
  • 1 biji telur (dipukul dahulu)
  • 2 sudu besar rempah kari ayam

 

BAHAN SANGAI :

  • 1 sudu besar ketumbar (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk)
  • 1 sudu besar jintan manis (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk)

 

BAHAN KISAR :

  • 1 inci halia
  • 1 biji bawang besar saiz kecik
  • 5 ulas bawang putih
  • 7 batang serai

 

CARA PENYEDIAN AYAM GORENG BEREMPAH :

▶ Ayam dibersihkan setelah disalut dengan tepung gandum.

▶ Kisar bahan kisar tu dengan sedikit air. Kisar hingga serai hancur.

▶ Kemudian tumbuk ketumbar, jintan dan kunyit hingga lumat.

▶ Dalam bekas laun,  satukan semuanya bahan rempah. Telur, daun kari dan tepung jagung serta serbuk kari. Tambah garam dan sedikit gula. Rasalah sikit atau agak-agak ye rasanya.

▶ Kemudian masukkan potongan ayam. Gaul sebati.

▶ Perap selama 1 jam atau lebih. Perap ayam ni lagi lama lagi sedap. Kalau lama sangat masukkan dalam peti ais. Time nak goreng keluarkan dan goreng.

▶ Panaskan minyak kemudian perlahankan api aras sederhana. (goreng dalam periuk sederhana kecil separuh minyak)

▶ Masukkan ayam. Goreng sehingga mendapat warna seperti dibawah. Toskan ayam di atas tisu serap minyak. Insyaallah hasilnya serbuk tu garing dan rangup sehingga ke petang. selamat mencuba.

 

TIP :

▶ Sewaktu menggoreng ayam beserta dengan serdaknya dah nampak serdak kekuningan angkat dan toskan. Sebab takut hangus atau hitam pulak nanti. Ayam tu goreng sehingga masak. Atau cara lain goreng ayam dulu kemudian baru goreng serdaknya pun boleh.

 

RESEPI KERUTUK DAGING/KAMBING

Bahan-bahan yang digunakan adalah :

  • 1kg daging/kambing
  • Kulit kayu manis
  • bunga lawang
  • buah pelaga
  • 4 sudu besar penuh rempah kerutuk
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 5 ulas bawang merah dihiris mayang
  • 2 ulas bawang putih dihiris mayang
  • 3 btg serai dititik
  • sedikit air asam jawa
  • 1 ½ sudu besar kerisik
  • Garam dan gula melaka/nisang
  • 1 cawan Santan sederhana pekat
  • minyak utk menumis
  • lada besar hijau/ kentang

 

BAHAN BAHAN KISAR :

  • 2 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • sedikit halia
  • sedikit lengkuas

 

CARA PENYEDIAAN KERUTUK DAGING :

▶ Panaskan minyak masak. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga wangi

▶ Kemudian masukkan serai, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bawang merah dan putih yang dihiris serta cili kisar. Tumis sehingga semuanya naik minyak.

▶ Seterusnya masukkan rempah kerutuk. Kacau sebati

▶ Masukkan daging dan santan. Masak sehingga daging empuk.

▶ Kemudian masukkan kentang potong. Nampak kerutuk kering boleh tambah air sikit

▶ Masukkan garam, gula melaka sedikit dan lada besar hijau. Biarkan dalam 10 minit siap!

*kerutuk ni bukan macam kuah gulai. Dia sedikit pekat

BACA JUGA: Mak Mertua Hidangkan Masakan Ayam Malbari Sedap Dan Pedas. Tak Sangka Rupanya Menu Ciptaan Sendiri!

RESEPI KUAH GULAI

Bahan-bahan yang digunakan adalah :

  • 2 biji bawang sederhana besar kisar
  • 2 ulas bawang putih kisar
  • 2 sudu cili kisar
  • 3 sudu serbuk kari babas (jadikan pes tambah sikit air)
  • 1 batang kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 2 biji bunga lawang
  • 1 sudu besar serbuk pati ayam
  • sedikit daun kari
  • sedikit halia tumbuk
  • sedikit kunyit serbuk
  • garam, gula
  • sedikit air asam jawa
  • 1 sudu besar kerisik
  • 1 cawan santan serderhana pekat
  • Air secukupnya
  • 3 biji kentang
  • Nak isi ayam boleh, kaki ayam pun boleh

 

CARA PENYEDIAAN KUAH GULAI :

▶ Tumis bawang besar, bawang putih, halia, daun kari. Tumis sehingga wangi,

▶ Kemudian masukkan kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, dan serbuk kunyit. Kacau sampai sedikit garing,

▶ Seterusnya masukkan cili kisar dan pes kari. Kacau rata sehingga naik minyak

▶ Masukkan kentang, santan, air dan kerisik. Dah empuk kentang, masukkan pati ayam, air asam jawa, garam dan gula.

▶ Biarkan kuah menggelegak, tutup api dan siap untuk dihidang

 

RESEPI SAMBAL BELACAN

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

  • 20 tangkai cili padi (potong kecik)
  • 10 tangkai cili merah besar (potong kecik)
  • 4-6 biji asam limau Kasturi (buang biji dan perah airnya)
  • 1 ibu jari belacan (bakar seketika)
  • 2 ulas bawang putih (bakar seketika)
  • 2 sudu besar cuka
  • 1 biji buat tomato (potong kecik)
  • ¼ cawan gula melaka/nisang (parut bagi halus)
  • 1 sudu asam jawa tambah dengan air panas (ramas amik airnya sahaja)
  • sedikit air

 

CARA PENYEDIAAN SAMBAL BELACAN :

▶ Kisar semua bahan di atas kecuali limau kasturi tapi jangan hancur sangat

▶ Dah siap kisar baru perah limau kasturi dan hiris kulit limau kasturi

▶ Jika kurang suka manis boleh kurangkan gula

Mudahnya bila ada resepi yang lengkap dan detail macam ni. Dengan satu perkongsian je, tapi semua ada. Daripada nasi, lauk utama, lauk sampingan serta sambal tambahan.  Mudah nak follow dan senang nak share kan ke facebook kita.

Nasi Nasi kukus ayam berempah dengan kerutuk daging ni sesuai sangt dibuat sebagai hidangan tengah hari. Makan beramai-ramai dengan keluarga, mesti mereka akan suka.

Serdak ayam goreng berempah tu memang wajib buat extra sebab ramai yang suka kan. Makan dengan nasi kukus panas-panas, sulamkan dengan samba belacan. Fuuh! Memang layanz!

Selamat mencuba kawan-kawan semua!

Leave A Reply

Your email address will not be published.

Open