Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Cara Buat Nasi Vanggey Beratur Ipoh. Resepi Homemade Yang Mudah Rasa Sebijik Macam Kedai!
Pernah dengar nasi vanggey yang terkenal di Ipoh tu? Bukan main panjang lagi beratur orang nak merasa nasi vanggey ni. Sekali dapat rasa makan nasi vanggey ni, memang susah nak lupa!
Kalau berkelapangan mengunjungi pekan Ipoh, sesekali cuba lah rasa nasi vanggey ni. Confirm akan rasa teruja. Nak elakkan beratur kenalah pergi awal sikit. Sebab kedai ni, sebelum buka lagi dah ada yang menunggu.
Bila jumpa resepi ni seronok bila semua resepi ada dalam satu perkongsian macam ni. Bila Cik Puan Abby Razi ni kongsikan cara nak buat nasi vanggey ni yang sedap dan terangkat!
Jom saya kongsikan cara-cara dan bahan-bahan yang digunakan untuk buat set lengkap Nasi vanggey ni, ayam masak merah, kari mamak dan juga kobis goreng. Follow resepi ni, boleh cuba buat untuk santapan tengah hari kita.
RESEPI NASI VANGGEY
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 4 cawan beras (disyorkan beras BASMATHI)
- 6 cawan air (atau ikut je sukatan beras biasa)
- Rempah sup adabi 1 bungkus kecil* (serbuk)
- 6-8 titis pewarna kuning telor
- ¼ cawan minyak sapi dan minyak masak
- 6 sudu besar sos cili maggi
BAHAN TUMIS :
- 4 ulas Bawang putih
- 8 ulas Bawang merah
- 3 Kulit kayu manis
- 3 Bunga lawang
- 5 Biji pelaga
- 3 Bunga cengkih
CARA PENYEDIAAN NASI VANGGEY :
▶ Mula-mula, panaskan kuali dan masukkan minyak masak. Biarkan panas seketika, tumis bahan-bahan tumisan. Tumis sehingga garing dan bertuka warna kekuningan.
▶ Kemudian, masukkan air untuk sukatan beras.
▶ Biarkan sampai mendidih, kemudian masukkan beras dan juga pewarna telur lebih kurang 3 titis.
▶ Kacau semua bahan untuk pastikan sebati. Seterusnya masukkan cili sos, garam, gula dan bahan perasa.
▶ Pindahkan ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
TIP :
▶ Untuk beras Basmathi, 3 cawan beras = 4 ½ cawan air.
▶ Rendam sekurang-kurangnya 30 minit sebelum mula memasak.
Nasi vanggey ni bukanlah nasi yang dimakan begiutu sahaja. Sudah pasti ada lauk yang sesuai untuk dimakan bersama.
Tak sah lah kalau tidak ada salah satu daripada lauk ayam masak merah, daging masak merah, atau masak sambal dan boleh juga masak ayam atau daging masak hitam. Jangan lupa ambik ayam gorengnya. Memang padu!
RESEPI AYAM GORENG VANGGEY
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
- 1 ekor ayam – potong 8 dan cuci bersih
- 3 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu besar tepung beras
- 1 sudu besar pes halia
- 1 sudu besar pes bawang putih
- 1 sudu besar rempah kari daging
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu besar kunyit serbuk
- 1 sudu kecil lada sulah
- 1 biji limau nipis
- 1 sudu kecil gula
- Garam secukup rasa
- Minyak yang banyak untuk menggoreng
CARA PENYEDIAAN AYAM GORENG VANGGEY :
▶ Mula-mula campurkan bersama tepung jagung, tepung beras, bawang putih dan halia. Semua pes tu adalah yang sudah diblend halus. Gaul semua bahan sekata.
▶ Masukkan serbuk kari, serbuk cili, serbuk kunyit, lada sulah, garam, gula dan juga perahan air limau nipis. Kacau sebati semua bahan.
▶ Kemudian, masukkan ayam dan sedikit air. Perap ayam lebih kurang selama 20 hingga 30 minit. Lagi lama perap, lagi sedap sebab perapan meresap ke dalam isi ayam.
▶ Panaskan minyak, gunakan minyak yang banyak sebab kita akan buat deep fry. Pastikan ayam tenggelam dalam minyak panas.
▶ Minyak dah betul-betul panas, perlahan api untuk ayam masak sekata. Goreng ayam hingga garing.
▶ Bila ayam dah bertukar warna, angkat dan toskan. Kalau suka saiz besar, nanti nak makan ketuk dan potongkan ayam tu ala-ala kedai mamak.
Tak lengkap nasi vanggey kalau tak ada kuah kari mamak ni. Inilah salah satu penyebab orang ramai beratur Panjang nak makan nasi vanggey ni tau. Jom saya kongsikan cara nak buat kari mamak ni.
RESEPI KARI MAMAK
Bahan-Bahan yang diperlukan adalah :
- 2 sudu besar cili kisar
- ½ -1 kg daging potong kecil
- 2 biji kentang dipotong kecil
- sedikit air asam jawa
- garam dan gula
- 2 cawan air atau lebih
- 1 batang kulit kayu manis,
- 3 biji bunga lawang,
- 3 biji bunga cengkih
- sedikit daun kari
BAHAN PES :
- 2 sudu besar serbuk kari ayam babas
- 2 sudu besar serbuk kari ikan babas
BAHAN KISAR :
- ½ inci halia
- 2 biji bawang besar saiz sederhana
- 4 ulas bawang putih
CARA PENYEDIAAN KARI MAMAK :
▶ Bancuh dulu bahan pes dengan sedikit air. Pastikan daging sudah dibasuh bersih dan potong daging kecil- kecil.
▶ Panaskan periuk, masukkan minyak masak. Bila dah panas, tumiskan daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang, dan bunga cengkih sehingga naik bau.
▶ Kemudian, masukkan bahan yang sudah kita kisar. Kisar sampai hancur ye.
▶ Bila dah sedikit garing, masukkan cili kisar. Masak sehingga pecah minyak.
BACA JUGA: Resepi Nasi Lemak Beserta Sambal Ikan Bilis Yang Mudah. Tip Goreng Ikan Bilis Kekal Garing!
▶ Seterusnya masukkan serbuk kari ayam dan kari ikan yang dijadikan pes tadi. Tambah sedikit air, dan masak sampai pecah minyak.
▶ Agak- agak kering, tambah sedikit air lagi.
▶ Bila dah pecah minyak, masukkan daging dan tambah air lagi. Biarkan daging empuk. Tutup periuk untuk bagi daging cepat masak.
▶ Seterusnya, masukkan kentang bila daging dah empuk.
▶ Akhir sekali, masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam dan juga gula.
▶ Biar kuah mendidih seketika dan boleh padamkan api.
Nasi dah siap, ayam goreng crispy dah selesai, kuah kari mamak pun dah masak. Sebagai pelengkap hidangan, wajiblah ada sayur kan. Sayur kobis menjadi pilihan sebab bila dimakan bersama nasi vanggey ni macam ngam je rasa dia!
RESEPI KOBIS GORENG MAMAK
Bahan-Bahan yang diperlukan adalah :
- semangkuk kobis yang dipotong sederhana halus
- ½ batang lobak (dipotong memanjang)
- 4 biji bawang merah (dimayang)
- 2 ulas bawang putih (diketuk)
- hujung sudu kecil jintan putih
- ½ sudu kecil serbuk pati ayam
- 3 batang potongan lada kering
- ½ sudu kecil biji sawi
- sedikit kunyit, garam dan gula
- sedikit daun kari
CARA PENYEDIAAN SAYUR KOBIS :
▶ Mula-mula sekali, panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga kekuningan dan naik bau.
▶ Kemudian, masukkan jintan putih, cili kering yang dipotong, biji sawi dan juga pati ayam serta serbuk kunyit. Kacau seketika.
▶ Seterusnya, masukkan kobis dan lobak merah.
▶ Akhir sekali, perasakan dengan garam dan juga gula.
Siap untuk dihidangkan!
CADANGAN HIDANGAN NASI VANGGEY :
- Nasi 1 hidangan
- Kuah kari mamak dituangkan ke atas nasi
- Ayam goreng crispy vanggey
- Sayur kobis
- Telur masin
- Kacang Panjang dan bendi celur pelengkap hidangan!
Wah! Seronok betul bila dah tahu cara nak buat nasi vanggey ni untuk satu hidangan lengkap. Tak payah susah-susah nak beratur Panjang, insyaAllah buat sendiri pun akan rasa sedap dan berbaloi.
Nak buat nasi Vanggey sedap ni, sesuai kalau dibuat untuk makan tengah hari waktu hujung minggu, makan ramai-ramai dengan ahli keluarga yang datang. Atau nak buat majlis kecil-kecilan pun sesuai.
Jadi, yang mana nak belajar buat nasi vanggey ni boleh follow je resepi yang saya kongsikan ni. Pasti ramai yang suka! Selamat mencuba!