Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Resepi Pucuk Ubi Kukus Masak Lemak Yang Mudah Dan Sedap. Ala-Ala Pucuk Ubi Kat Bandung Hasilnya!
Hari ini kita akan ikuti satu perkongsian resepi pucuk ubi kukus masak lemak yang mudah dan sedap. Yang menariknya pucuk ubi atau ubi kayu ini akan dimasak berbentuk segi empat dan berbeza dengan resepi yang biasa kita buat.
Resepi ini asalnya dari Bandung, Indonesia. Yang mana di sana, sayur pucuk ubi ini juga dikenali sebagai singkong. Biasanya, singkong akan dimasak lemak dan dibentukkan segi empat seperti resepi ini.
Macam mana nak buat bentuk segi empat pada sayur pucuk ubi ni? Mudah je! Rebus pucuk ubi sehingga lembut dan dibuang airnya. Kemudian, dimasukkan ke dalam loyang dan dituangkan telur yang telah dipukul kembang didalamnya.
Lenyekkan pucuk ubi dalam loyang sehingga padat. Kemudian kukus sehingga masak. Pucuk ubi yang dah keras dan padat permukaannya adalah pucuk ubi yang sudah masak dengan sempurna.
Nak tahu lebih detail lagi, apa kata kita ikuti perkongsian resepinya dari Cik Puan Suzana Othman. Pasti anda teruja dengan hasilnya! Menurut beliau, resepi ini telah menarik perhatian beliau sejak ianya dihidangkan di Bandung 8 tahun yang lalu.
RESEPI PUCUK UBI KUKUS MASAK LEMAK
Setiba di Malaysia, beliau juga terus mencuba resepi ini ikut pemahaman sendiri. Walaupun agak tak sama dengan resepi asal dari Bandung, tapi resepi ini telah menjadi kegemaran keluarga beliau sehingga hari ini.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
Bahan A :
- 1 ikat pucuk ubi (direbus dengan garam hingga lembut, kemudian perahkan airnya)
- 10 biji telur
- Garam
Bahan B :
- 1 biji bawang besar*
- 4 ulas bawang putih*
- Segenggam ikan bilis*
- Pucuk ubi yang dah siap dipotong
- 1 kotak santan kelapa
- 1 sk serbuk kunyit
- Garam
- Minyak masak untuk menumis
- Air secukupnya
*Kisar bahan yang bertanda dan ketepikan.
CARA PENYEDIAAN PUCUK UBI KUKUS MASAK LEMAK :
▶️ Pecahkan telur dalam mangkuk. Masukkan sedikit garam kemudian pukul telur hingga kembang.
▶️ Sediakan loyang, oleskan sedikit minyak supaya tak melekat. Kemudian, masukkan pucuk ubi ke dalam loyang.
▶️ Curahkan telur ke atas pucuk ubi. Kemudian, tekan-tekan supaya padat.
▶️ Panaskan pengukus, kukus pucuk ubi hingga masak. Cara nak tahu sama ada dah masak atau belum ialah dengan menekan permukaan pucuk ubi, kalau dah keras dan padat bermakna dah masak.
▶️ Keluarkan dari pengukus, sejukkan pada suhu bilik. Bila dah betul-betul sejuk baru boleh dipotong ikut saiz yang diingini.
▶️ Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan kisar hingga garing.
▶️ Masukkan serbuk kunyit dan air secukupnya.
▶️ Masukkan pucuk ubi yang dah dipotong tadi.
▶️ Masukkan santan, perasakan dengan garam dan serbuk perasa jika suka. Kacau perlahan hingga mendidih. Tutup api!
▶️ Taburkan cili merah semasa menghidang. Siap untuk dihidang!
BACA JUGA: Cara Buat Sambal Rambutan Yang Luar Biasa. Manis dan Pedas Rasanya, Sedap Sangat!
Dah siap pucuk ubi kukus yang rare ni. Walaupun pembuatannya agak renyah tapi percayalah, ianya sangat berbaloi bila tengok anak-anak makan sayur tanpa dipaksa. Sedap sangat rasanya bila dihidang dengan nasi putih panas dan juga ikan goreng.
Kalau dah bosan makan pucuk ubi masak lemak biasa di Malaysia, apa kata kita bertukar selera ke Bandung pula. Confirm bertambah nasi dibuatnya. Mungkin juga resepi ini akan menjadi salah satu menu kesukaan anda sekeluarga.
Yang duduk kampung, mesti senang je nak dapat pucuk ubi ni. Apa tunggu lagi save resepi ni dan cuba sendiri di rumah. Semoga resepi pucuk ubi kukus masak lemak ini bermanfaat buat kita semua.