Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Resepi Ayam Bumbu Kuning Pedas Yang Paling Sedap. Memang Terangkat Dibuatnya!
Ada yang pernah cuba resepi ayam bumbu kuning pedas? Biasanya resepi bumbu kuning pedas ini menggunakan telur, tapi kali ini digantikan dengan ayam. Rasanya seakan rendang tapi bukan rendang Melayu yang selalu kita makan tu ye.
Resepi telur bumbu kuning pedas asalnya dari negara jiran iaitu Indonesia. Tapi telah diolah menggunakan ayam oleh pencipta resepi ini. Memang padu rasanya! Nak makan dengan ketupat di hari raya pun sedap.
Tekstur ayam yang dimasak bumbu kuning pedas ini tidak garing. ini kerana, ayam tidak perlu digoreng garing dengan kunyit dan garam. Ayam cuma perlu dibasuh bersih dan terus dimasukkan dalam bahan tumisan bumbu kuning pedas itu nanti.
Resepi ini dimasak juga dengan menggunakan daun kunyit, aroma masakan sangat menyelerakan. Berbaloi sangat nak masak lauk ni. Rasa pedasnya lain macam, berpeluh-peluh dibuatnya.
Sangat mudah dimasak kerana tidak memerlukan bahan memasak yang renyah. Resepi istimewa ini telah dikongsikan oleh Cik Puan Hana A Razak melalui laman Facebooknya. Makan dengan nasi putih panas-panas memang layan habis.
RESEPI AYAM BUMBU KUNING PEDAS
Terima kasih diucapkan kepada Cik Puan hana yang seringkali berkongsi resepi beliau di Facebook. Ramai yang suka dengan perkongsian beliau. Tanpa membuang masa lagi apa kata kita mula memasak.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah :
- Seekor ayam
- 15 batang cili padi*
- 2 biji bawang besar*
- 5 biji bawang putih*
- 2 batang serai*
- 1 inci halia*
- 15-20 batang cili kering*
- 3 inci kunyit hidup
- 4-5 sudu cili yang siap dikisar
Bahan lain :
- 1 inci lengkuas (dihiris)
- 1 batang serai (titikkan)
- 2 biji tomato
- 4-5 helai daun kunyit
- 5-6 helai daun limau
- 700ml Santan fresh (Rm6 beli dimarket)
- Gula
- Garam
CARA PENYEDIAAN AYAM BUMBU KUNING PEDAS :
▶️ Blendkan semua bahan bertanda * dan ketepikan.
▶️ Panaskan kuali. Masukkan minyak untuk menumis bahan dikisar. Kunyit pula boleh ditumbuk asing, kalau nak elakkan blender jadi kuning.
▶️ Masukkan cili kisar dalam 4-5 sudu atau ikut tahap kepedasan yang anda mahukan.
▶️ Masak sampai bahan tumis tadi pecah minyak, barulah dimasukkan ayam dalam kuali.
▶️ Masukkan pula serai yang dah dititik dan lengkuas yang dah dihiris tadi.
▶️ Bila air ayam dah kering, baru masukkan santan. Gaul rata.
▶️ Dah mendidih, masukkan tomato dan perasakan dengan sedikit garam.
▶️ Balancekan juga rasa dengan sedikit gula. Nak masukkan secukup rasa pun boleh.
▶️ Bila minyak santan dah mula naik. Masukkan daun kunyit. Boleh dicarikkan dan boleh juga dihiris.
▶️ Masukkan pula daun limau purut, jangan lupa buang urat tengah daun tu supaya tak pahit.
▶️ Masak seketika dan tutup api. Siap untuk dihidang!
BACA JUGA: Resepi Scone Homemade Ala Kafe Cameron Highlands. Mudah Sangat, Cuma Guna 4 Bahan Je!
Sepatutnya kuah kena kering lagi, tapi tak nak keringkan pun boleh. Kalau suka makan lauk berkuah, tak perlu biarkan ayam sampai kering. Resepi ini tak nampak kuning sangat ye. Sebab tak guna kunyit yang banyak. Jadi warnanya nampak merah.
Lebihkan kunyit kalau nak kuah nampak betul-betul kuning. Rasa pedas ayam bumbu kuning ni memang power. Mantul sampai ke langit rasanya! Ada sedikit beza dengan resepi asal iaitu penggunaan tomato, cili padi dan bawang putih.
Lepas ni, kalau dah tak tahu nak masak lauk apa dengan ayam yang ada dalam peti tu, bolehlah cuba resepi ayam bumbu kuning pedas yang sedap ini. Semoga ianya memberi manfaat buat kita semua. Selamat mencuba!