Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Aneka Resepi Sayur Simple Dan Mudah. Pelengkap Makanan Yang Wajib Ada Dalam Setiap Hidangan!
Setiap hidangan kita baik untuk tengah hari atau malam, pasti lengkap jika ada makanan sayur-sayuran kan?
Tapi kadang-kadang pening juga nak fikirkan sayur apa yang sesuai dengan hidangan utama kita. Haa, nak ini 10 resepi sayuran yang simple dan mudah nak buat.
Pilih je dari resepi yang ada untuk lengkap kan hidangan kita.
SAYUR KACANG BUNCIS TUMIS CAMPUR TERUNG
Sayur kacang buncis rasa dia memang sedap. Rasa kacang buncis dengan kacang Panjang juga berbeza bukan hanya bentuk malah rasa juga tak sama.
Jika ada sayur kacang buncis ni boleh cuba buat sayur tumis campur terung. Sudah pasti mak ayah dengan kita akan tersenyum bila dapat makan. Sedapnya tak boleh tahan! Jom kita tengok perkongsian dari Amie’s Little Kitchen ni.
RESEPI KACANG BUNCIS TUMIS CAMPUR TERUNG
Bahan-bahan yang digunakan adalah:
- 10 batang kacang buncis – bersihkan dan hiris serong
- 2 biji terung Taiwan – potong bulat – goreng hingga layu dan ketepikan
- ½ batang lobak merah – potong memanjang
- Minyak untuk menumis
- 1 sudu makan sos tiram
- perencah MAGGI Cukup Rasa (jika ada)
Bahan tumbuk:
- 2 ulas bawang putih
- 3 biji bawang merah
- 1 genggam udang kering
CARA PENYEDIAAN SAYUR KACANG BUNCIS CAMPUR TERUNG :
▶ Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
▶ Masukkan lobak merah dan kacang buncis. Gaul sebati.
▶ Setelah kacang buncis berubah warna, masukkan pula terung yang telah digoreng tadi.
▶ Perasakan dengan sos tiram dan sedikit perencah MAGGI Cukup Rasa.
▶ Jika rasa dah okay, boleh angkat dan hidangkan bersama lauk lain.
Kredit resepi: Amie’s Little Kitchen
RESEPI KANGKUNG BELACAN
Fuuh! Sedapnya bila dapat makan kangkung belacan ni. Jika ada resdung kurangkan makan ye, sebab belacan yang digunakan dalam lauk ni boleh buat kita bersin-bersin.
Tapi belacan tu lah yang boleh buat kita ralit makan sayur kangkung ni. Sayur kangkung belacan ni, sesuai dihidangkan dengan lauk berkuah seperti tomyam, atau sup-sup ayam.
Bahan-bahan yang digunakan adalah
- Kangkung seikat
- 2 batang cili basah – dihiris nipis
- 3 ulas bawang putih – dihiris nipis
- 3 biji bawang merah – dihiris nipis
- sedikit belacan -ditumbuk
- sedikit udang kering – (tak bubuh pun takpe)
- bawang goreng – untuk hiasan
- Garam secukupnya
CARA PENYEDIAAN SAYUR KANGKUNG GORENG BELACAN :
▶ Basuh dan bilas sayur kangkung bersih-bersih.
▶ Tumis bawang putih, bawang merah, cili basah, belacan dan udang. Tumis sehingga naik bau.
▶ Kemudian, masukkan kangkung dan gaul sampai semua rata dan masak.
▶ Hidangkan dan tabur sedikit bawang goreng.
KAILAN IKAN MASIN ALA THAI
Kalau ke kedai Thailand, selain order tomyam thai yang pekat dan masak, jangan lupa hidangan sampingannya adalah kalian ikan masin.
Ditambah dengan telur dadar, lengkap satu menu hidangan yang superb! Tapi, ini saya kongsikan macam mana nak buat resepi ini di rumah sahaja.
RESEPI KAILAN IKAN MASIN ALA THAI
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 2 ikat sayur kailan – ambil pucuk kalian yang berbunga sahaja
- 2 cm ikan masin sebaik-baiknya ikan tenggiri
- 2 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 2 biji cili api- ditumbuk dan dititik
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar nampla atau sos ikan Thai
- Minyak bijan
CARA PENYEDIAAN SAYUR KAILAN IKAN MASIN :
▶ Sayur kailan yang telah dibersihkan dan dipotong kecil-kecil mengikut citarasa anda.
▶ Ambil bawang merah dan putih. Potong halus atau mayang.
▶ Ambil ikan masin bersihkan dahulu yer dan potong kecil-kecil..
▶ Goreng ikan masin di dalam minyak yang panas sehingga betul-betul garing.
▶ Masukkan semua bawang dan goreng bawang tersebut sehingga layu .
▶ Selepas itu masukkan sos tiram dan kacau sehingga sebati.
▶ Setelah betul-betul sebati anda masukkan pula nampla dan terus kacau..
▶ Akhir sekali masukkan sayur kailan.
▶ Setelah itu kacau sayur dan jika kelihatan kering anda boleh masukkan sedikit air .
▶ Goreng sehingga sayur kailan layu dan masak sepenuhnya.
▶ Penggunaan garam tidak perlu di dalam resepi ini kerana ikan masin sudah cukup untuk memasinkan resepi ini.
▶ Masakan kailan ikan masin anda telah pun siap untuk dihidangkan.
Selamat mencuba👨🍳👩🏻🍳😻
BENDI GORENG SOS TIRAM
Sayur bendi bukan sesuai untuk masukkan dalam lauk kari atau sebagai ulam rebus sahaja tau. Boleh juga dibuat masa tumis atau digoreng. Tapi tak ramai yang suka buat sayur bendi ni sebagai sayuran goreng.
Untuk yang nak mencuba menu baru boleh lah buat. Mana tahu ada ahli keluarga yang suka dengan lauk bendi ni.
RESEPI BENDI GORENG SOS TIRAM
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 15 biji bendi
- 5 ulas bawang putih ~ didadu kecil2
- 1 sudu besar udang kering yang telah disangai dan dimesin halus
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar kicap cair
- 2 keping asam keping ~ guna untuk merebus bendi
- Air
- Garam (jika perlu) dan sedikit gula
- Minyak untuk menumis
**Kalau ingin pedas, bolehlah tambah cili api yg diketuk atau ditumbuk.
CARA PENYEDIAAN BENDI GORENG SOS TIRAM :
▶ Panaskan air dan masukkan asam keping ke dalam periuk. Bila air mendidih masukkan bendi yang telah dibersihkan dan masak hingga bendi masak. Angkat dan toskan airnya.
▶ Bila dah agak sejuk buangkan hujung dan pangkal bendi tadi.
▶ Panaskan minyak dan gorengkan bawang putih sehingga garing dan angkat bawang tadi.
▶ Dengan menggunakan api yang besar, masukkan sos tiram dan kicap serta air. Kacau rata. Perasakan masinnya. Saya suka letak sedikit gula untuk menyedapkan lagi rasa.
▶ Masukkan bendi dan tutupkan api.
▶ Angkat dan taburkan dengan bawang putih yang telah digoreng dan udang kering.
SAYUR CAMPUR ALA CINA
Salah satu masakan sayur yang boleh kita buat untuk dihidangkan, Masak ala cina ni tak pedas sangat. Jika yang suka kan pedas, boleh lah masukkan cili untuk tambah perasa.
Boleh lah cuba buat masakan ala cina ni untuk yang baru nak cuba atau berikan kepada anak kecil. Jangan risau, rasanya sangat sedap.
RESEPI SAYUR CAMPUR ALA CINA
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 50gram bunga kubis.
- 5 ulas kacang buncis.
- 1 biji lada benggala – dipotong dadu.
- 2 biji lobak merah – dipotong nipis.
- 5 ulas bawang putih – dikisar.
- 2 sudu besar sos tiram.
- sedikit stok ayam.
- 50ml air.
- 2 sudu tepung jagung – dibancuh dengan air.
- 2 biji cili merah – dipotong kecil (untuk hiasan).
- 10g bawang merah – digoreng (untuk hiasan).
CARA PENYEDIAAN SAYUR CAMPUR ALA CINA :
▶. Panaskan kuali , masukkan minyak dan tumis bawang putih
▶. Masukkan air , stok ayam dan sos tiram.
▶. Masukkan garam dan air bancuhan tepung jagung.
▶. Kacau sos sehingga pekat dan masukkan sayur-sayuran.
▶. Kacau sampai mendidih dan masukkan cili merah serta bawang goreng.
Selamat mencuba..
BACA JUGA: Aneka Resepi Ikan Tenggiri Air Tangan Bonda Yang Lazat. Sekali Buat Pun Senang Nak Ingat
SAYUR BROKOLI CAMPUR CENDAWAN SOS TIRAM
Sayur brokoli ni sayur yang sesuai dimakan ketika kita diet. Sebab sayur ni boleh membantu membakar lemak tepu kita dengan cepat. Tapi tak semua orang suka makan brokoli sebab rasa dia sedikit payau.
Tapi jka dibuat masak dengan sos tiram, memang sedap rasanya. Dicampur pula dengan cendawan butang ni. Padu!
Kuantiti resepi yang saya kongsikan ni sesuai untuk dimakan untuk dua orang makan. Boleh tambah jika nak buat banyak.
RESEPI SAYUR BROKOLI CAMPUR CENDAWAN SOS TIRAM
Bahan-bahan yang digunakan adalah:
- 4 jejari ketam (dipotong)
- 250 gm brokoli
- ½ biji lada benggala
- 1 tin cendawan butang
- 2 ulas bawang putih (dimayang)
- 2 ulas bawang merah (dimayang)
- 3 sudu besar sos tiram (dicairkan dengan ¼ cawan air)
- Minyak (untuk menumis)
- Garam
- Lada hitam secukupnya
- Serbuk perasa
CARA PENYEDIAAN SAYUR BROKOLI CAMPUR CENDAWAN SOS TIRAM :
▶. Bersihkan sayur brokoli dan celur sebentar. Hiris lada benggala dan celur seketika. Toskan cendawan butang.
▶. Panaskan dua sudu besar minyak dan tumis bawang sehingga garing. Kemudian masukkan jejari ketam dan sos tiram. Biarkan seketika dan masukkan cendawan butang.
▶. Akhir sekali masukkan brokoli serta lada benggala dan sesuaikan rasa dengan garam dan lada sulah. Biarkan ia seketika di atas api.
▶. Angkat dan hidangkan.
Selamat mencuba..
TAUGEH TUMIS IKAN MASIN
Sedapnya taugeh ni bila dimakan rangup-rangup. Ada yang suka buat sayur taugeh dengan kicap dan kucai. Tapi resepi ini saya kongsikan masak taugeh dengan ikan masin.
Rasa dia memang sedap sebab bila kita makan taugeh yang rangup dicampur rasa masin dari ikan masin tu. Makan dengan nasi putih pun boleh layan.
RESEPI TAUGEH TUMIS IKAN MASIN
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 250g taugeh – dibersihkan
- 100g isi ikan kurau kering – (atau lebih kurang) potong kecil2 dan goreng garing
- 1 biji bawang besar – hiris halus
- 3 ulas bawang putih – cincang halus
- 2 tangkai cili merah – hiris
- 3 tangkai cili padi (opt) – belah 2 jangan putus
- sedikit lada sulah serbuk
- garam dan perasa secukup rasa (jika perlu)
- daun kucai atau daun sop/bawang – hiris
- sedikit kicap manis
- sedikit minyak masak – untuk menumis
- bawang goreng – untuk tabur
CARA PENYEDIAAN TAUGEH TUMIS IKAN MASIN :
▶ Panaskan sedikit minyak masak dalam kuali, masukkan bawang besar dan bawang putih, tumis hingga wangi dan masukkan cili merah dan cili padi dan gaul. Masukkan juga lada sulah serbuk, garam dan perasa secukupnya jika perlu.
▶ Kecilkan api, masukkan ikan kering, tauge, hirisan daun kucai atau daun sop/bawang. Balek2kan sekejap lalu matikan api supaya taugeh tidak layu sambil direnjiskan sedikit kicap manis.
▶ Ketika menghidang, tabur sedikit bawang goreng.
▶ Lauk tauge ini enak juga ditambah hirisan tomato.
▶ Siap dan sedia dihidangkan.
SAYUR BAYAM TUMIS
Sayur bayang tumis ni sesuai dibuat jika lauk utama kita agak kering. Sebagai contoh, jika makanan kita tu ikan atau ayam masak sambal memang sesuai dimakan dengan lauk sayur bayam ni.
Sayur bayam ni, jika nak buat untuk anak-anak boleh masukkan fishball atau fishcake. Confirm mereka suka.
RESEPI SAYUR BAYAM TUMIS
Bahan-bahan yang digunakan adalah:
- 1 ikat bayam, potong kecil dan asingkan batang yang lembut
- 3 biji bawang merah, hiris nipis
- 3 ulas bawang putih, hiris nipis
- 1 sudu besar sos tiram
- 6-7 ekor udang, buang kulit
- cili merah
- garam secukup rasa
- 1-2 sudu besar minyak masak
CARA PENYEDIAAN SAYUR BAYAM TUMIS :
▶ Panaskan minyak dan tumis bawang merah bersama bawang putih sehingga kekuningan.
▶ Masukkan udang dan kacau seketika sehingga separuh masak.
▶ Masukkan bahagian batang bayam dan masak sehingga lembut.
▶ Masukkan pula bahagian daun bayam serta diikuti air secukupnya.
▶ Kemudian masukkan sos tiram, cili merah dan garam secukup rasa. Rebus hingga mendidih dan tutup api.
Tips:
Jangan masak terlalu lama kerana sayur akan terlalu masak dan kurang khasiatnya.
SUP SAYUR PETOLA
Baru sahaja sebut Namanya sudah bayangkan rasa pahit petolanya macam mana. Tapi tahu tak jika sayur petola di buat masak sup atau masak air, kita tidak akan rasa pahitnya. Malah kita akan jatuh suka dengan sup petola ni,
Nak-nak lagi jika supnya ditmabh dengan telur atau isi ayam. Memang sedap. Jika nak tambah kepedasan boleh buat cili kicap yang awesome!
RESEPI SUP SAYUR PETOLA
Bahan-bahan yang digunakan adalah:
- 1 batang sayur petola
- 1 peket suhun dan fucuk
- 1 peket cendawan tiram
- 5-6 kacang buncis
- 1 peket fish ball dan fishcake
- segenggam udang kertas kecil
- 2 sudu besar sos tiram
- ½ sudu kecil minyak bijan – kalau tak ada pun ok
- Air secukupnya
- Garam secukup rasa
Bahan ditumbuk lumat:
- 2 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
CARA PENYEDIAAN SUP SAYUR PETOLA:
▶ Bersihkan sayur petola kemudian buang kulit luar yang keras dan ambil isinya. Potong kecil-kecil
▶ Rendam suhun serta fucuk sampai kembang dan ditos ketepikan dulu . Bersihkan semua sayur kacang buncis dan dipotong serong. Kemudian siat cendawan dan bersihkan juga udang
▶ Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan ditumbuk sampai wangi kemudian masukkan udang kertas serta sos tiram. Kacau rata , boleh la dimasukkan air untuk kuah
▶ Kacau kuah dan biarkan sampai mendidih , kemudian masukkan sayur petola dahulu, kemudian masukkan fishball dan fishcake biar sampai sayur separuh masak baru la dimasukkan cendawan dan dikacau
▶ Masukkan kacang buncis, garam secukup rasa dan bila sayur dah masak boleh dimasukkan suhun serta fucuk, kacau semua bahan-bahan .
▶ Boleh terus ditutup api dapur fucuk dan suhun akan masak dalam kuah sup yang masih panas . Jangan masak sup ni terlalu lama nanti sayur menjadi layu dan lembik .
Selamat mencuba..
PUCUK PAKU GORENG BELACAN
Jika ada pucuk paku di belakang rumah, boleh lah dibuat masak belacan yang sedap ni. Selain daripada boleh dijadikan ulam rebus, pucuk paku ni lauk yang ramai orang suka buat masakan.
Ada yang buat masak lemak cili padi dicampur dengan cendawan, ada juga yang suka buat pecal. Sedapnya jika dapat makan pucuk paku ni. Kali ni, jom kita buat pucuk paku goreng belacan pulak.
RESEPI PUCUK PAKU GORENG BELACAN
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- Seikat pucuk paku
- 6 biji cili padi (tumbuk)
- Segenggam ikan bilis (tumbuk manja-manja aje)
- Bawang merah 5 ulas (tumbuk)
- Bawang putih 3 ulas (tumbuk)
- Belacan 1 inci (tumbuk)
- 2 sudu besar minyak untuk menumis
- Garam dan gula
CARA PENYEDIAAN PUCUK PAKU GORENG BELACAN :
▶ Tumbuk bawang merah, bawang putih dan belacan.
▶ Panaskan minyak . Tumiskan bahan tumbuk tadi.
▶ Lepas tumisan naik bau dan warna bertukar kekuningan, masukkan cili padi.
▶ Seterusnya masukkan pucuk paku.
▶ Akhir sekali, masukkan ikan bilis yang ditumbuk kasar tadi. Gaul rata. Jika kurang masin, perasakan dengan garam.
▶ Kacau sebati, perasakan..maka siaplah!:)
TIPS dari saya : Pastikan anda jangan menggoreng pucuk paku goreng belacan ini terlalu lama…Kalau terlalu “Overcook” nanti tak sedap…
Yeaay! Ada 10 resepi sayur yang mudah dan simple untuk kita buat. Senang bila ada pelbagai resepi dalam satu artikel sebegini kan. Mudah untukkita buat pilihan nanti.
Haa, jangan lupa kongsikan di facebook anda supaya mudah nak cari nanti dan semoga dapat memberi manfaat kepada yang lain juga.
Saya harap perkongsian kali ini dapat membantu anda yang sedang mencari resepi sayur-sayuran mudah.
Selamat mencuba!