Join group komuniti "Kongsi Resepi Orang Suka" kami di facebook untuk dapatkan update resepi menarik setiap hari
Aneka Resepi Ikan Bilis Sedap Yang Wajib Anda Cuba! Masakan Simple Pembuka Selera
Ada antara kita yang tidak suka makan ikan bilis. Tapi ada juga yang memang hantu ikan bilis. Lebih-lebih lagi ikan bilis goreng rangup. Memang tak dapat nak tolak.
Ikan bilis ni walaupun kecik je saiz dia tapi rasa dia sedapnya lahai. Kadang – kadang boleh ralit meratah lauk ikan bilis ni.
Ada beberapa lauk yang boleh kita buat dengan ikan bilis selain daripada sambal tumis untuk nasi lemak. Jom saya kongsikan apa resepi yang boleh kita buat dengan ikan bilis ni.
SAMBAL TEMPE GORENG DENGAN IKAN BILIS
Ikan bilik rangup dicampur dengan tempe nipis dan rangup. Makan dengan nasi putih je cukup dah buat kita nak menambah. Ada juga yang suka masukkan kacang tanah sekali dalam masakan ini.
Jadi terpulang kepada citarasa masing-masing ya. Nak buat sambal tempe goreng dengan ikan bilis ni tersangatlah senang. Buat banyak- banyak, simpan dalam bekas. Masa nak makan nasi, hidangkan sama -sama.
RESEPI SAMBAL TEMPE GORENG DENGAN IKAN BILIS
Bahan bahan yang digunakan adalah :
- 1 mangkuk ikan bilis – goreng garing
- 1 pek tempe – hiris nipis dan goreng garing
- 3 sudu besar cili kisar
- 5 ulas bawang merah – tumbuk
- Gula
- Garam
- Minyak untuk menumis
CARA PENYEDIAAN SAMBAL TEMPE GORENG DENGAN IKAN BILIS :
▶ Panaskan minyak dan tumis cili kisar sehingga wangi dan garing.
▶ Masukkan pula bawang merah yang ditumbuk kasar. Setelah wangi dan garing, masukkan gula. Gaul rata dan masukkan sedikit garam.
▶ Akhir sekali masukkan tempe dan ikan bilis goreng. Gaul rata dan tutup api supaya tempe dan ikan bilis kekal rangup.
▶ Makan dengan nasi putih panas- panas atau pun dicicah dengan roti putih.
Nota:
Boleh dimasukkan dalam bekas bertutup dan tahan selama 3 hari.
Kredit Resepi – Azie Kitchen
TAUCU IKAN BILIS DENGAN PETAI
Waah! Tengok gambar je dah kecur mulut dibuatnya. Masakan ni sebenarnya jarang nak jumpa di mana-mana. Sebab dia masakan kampung lama-lama. Cuba lah!
Kalau korang memang penggemar petai, lagi lah akan berselera bila makan lauk taucu bilis petai ni. Tambah nasi? Confirm!
RESEPI TAUCU IKAN BILIS DENGAN PETAI
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 3 biji bawang besar
- 25-30 cili padi (kontot @ cili padi kampung)
- 7 biji lada besar merah
- 7 biji lada besar hijau
- 2 genggam ikan bilis
- 2 sudu besar gula
- 4 papan petai (nak lebih boleh tambah)
- 3-4 sudu Taucu
- 1 sudu besar Sos tiram
- 150 ml santan
CARA PENYEDIAAN TAUCI IKAN BILIS DENGAN PETAI :
▶ Goreng dulu ikan bilis separa garing, ketepikan
▶ Tumis bawang besar kesemuanya. Tumis sampai agak layu. Jangan terlalu layu ye.
▶ Masukkan hirisan cili besar merah dan hijau
▶ Masukkan cili padi kontot. Gaul rata supaya sebati
▶ Kemudian masukkan petai. Kacau lagi.
▶ Masukkan 3 sudu besar taucu. Kacau sampai rata dan taucu mencair sikit.
▶ Masukkan 1 sudu sos tiram. Kacau sekata.
▶ Masukkan santan pekat.
▶ Masukkan balik ikan bilis yang kita goreng tadi.
▶ Akhir sekali, masukkan gula 2 sudu besar. Masak sekejap dalam anggaran seminit dua. Dan boleh tutup api. Siaapp!
Dah sedia dihidang.
Kredit Resepi – Port Resepi
IKAN BILIS TUMIS ASAM
Ikan bilis tumis asam? Mesti pertama kali dengar kan nama dia. Tapi sekali rasa pun boleh buat kita suka.
Ikan bilis tumis asam ni memang agak masam-masam manis sikit disebabkan penggunaan asam dan kicap. Gabungan dua rasa ni dengan nasi putih, memang meletop!
RESEPI IKAN BILIS ASAM
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- Bawang putih 2 ulas
- Bawang merah 1 biji
- Air asam jawa (dalam 2 sudu besar)
- 1 sudu besar gula
- Garam (secukup rasa)
- Ikan bilis
- Kentang 1 biji (dipotong nipis)
- Minyak
CARA PENYEDIAAN IKAN BILIS ASAM :
▶ Goreng dulu kentang dan ikan bilis. Ketepikan.
▶ Tumis bawang putih, masukkan air asam jawa, gula dan garam.
▶ Biar mendidih hingga pekat.
▶ Masukkan ikan bilis goreng dan bawang merah, gaul rata.
▶ Masukkan kentang goreng dan gaul hingga rata. Siap!
Masa tumis bawang tu, minyak 3-4 sudu je. Ada setengah ikan bilis tu memang dah masin so tak perlu letak garam. kena rasa time masukkan ikan bilis goreng tu.
Kredit Resepi – Resepi Masakan
SAMBAL TEMPOYAK IKAN BILIS
Sambal tumis ikan bilis petai pernah lah kita dengar kan. Haa kali ni resepi dari Port Resepi ni kongsikan sambal tempoyak ikan bilis. Memang wow lah rupa dia.
Jangan baca je cara nak buat, tapi korang memang kena rasa sendiri kesedapan dia. Kalau ada tempoyak dalam rumah tu, memang ngam lah nak buat. Makan ramai -ramai dengan family besar, mesti ramai yang suka.
RESEPI SAMBAL TEMPOYAK IKAN BILIS
Bahan -bahan yang digunakan adalah :
- 4-5 biji bawang besar
- cili padi (ikut pada pedas kita nak)
- 14 biji lada besar merah
- ikan bilis
- tempoyak 1½ cawan
- 2 helai daun kunyit
- 1 sudu gula
- sedikit garam
- 2 sudu sos tiram
CARA PENYEDIAAN SAMBAL TEMPOYAK IKAN BILIS :
▶ Blend halus lada besar merah dan cili padi
▶ Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing.
▶ Dah garing, angkat dan toskan
▶ Guna minyak yang sama, masukkan bahan blend. Masak sampai naik minyak.
▶ Dah masak, masukkan tempoyak. Gaul rata dan sebati.
▶ Masukkan 2 sudu sos tiram. Kacau rata
▶ Masukkan daun kunyit. Koyak2 kasar je.
▶ Masukkan bawang besar. Bawang ni hiris2 dulu kesemunya. Gaul rata.
▶ Perasakan dengan gula dan garam.
▶ Akhir sekali, masukkan ikan bilis.
▶ Gaul rata sekejap. Dah siap dan sedia dihidang. 💃 💃
Kredit Resepi – Port Resepi
SAMBAL TOTOK JAWA
Nang jowo yaa? Hehe. Sambal totok jawa yang sedap, pedas berapi ni sedapnya kalau dapat makan. Selalunya sambal begini mak-mak kita lah yang rajin buat. Ingat lagi, jika di kampung nenek, sambal sejenis ini memang wajib ada setiap kali hidangan tengah hari dan malam.
Tapi sekarang ni, tak perlu tunggu balik kampung nak makan sambal ni, jom saya kongsikan caranya. Ish, mudah aje lah!
RESEPI SAMBAL TOTOK JAWA
Bahan-Bahan yang digunakan adalah :
- Segenggam ikan bilis
- 10-15 biji cili padi kampung
- 3 biji cili merah-di potong-potong sebelum digoreng
- 1 biji bawang merah – dihiris
- 3 ulas bawang putih – dihiris
- 1 inci belacan
- Minyak untuk menggoreng
- Garam & sedikit gula
- Limau kasturi -ikut suka
CARA PENYEDIAAN SAMBAL TOTOK JAWA :
▶ Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan toskan.
▶ Goreng seketika bawang merah dan putih bersama belacan, angkat dan toskan.
▶ Kemudian goreng cili padi dan cili merah tadi. Pastikan anda menutup kuali, kalau tidak cili padi akan meletup-letup.
▶ Tumbuk kesemuanya kecuali ikan bilis hingga lumat.
▶ Masukkan ikan bilis goreng dan tumbuk kasar-kasar sahaja.
▶ Perahkan limau kasturi mengikut citarasa anda
Kredot Resepi : Rasa
SAMBAL TOMATO IKAN BILIS GORENG
Kalau dapat makan sambal tomato ikan bilis goreng ni, tak pandang kiri kanan dah. Ikan bilis pastikan garing, barulah bila makan pun bunyi krup krap!
Sambal ni tak berapa pedas sangat sebab kita gunakan juga tomato. Tapi jika nak suka makan yang pedas, boleh tambah cili padi dalam bahan-bahan nanti ye. Jom, kita tengok resepi yang dikongsikan oleh Cik puan Syahidawati.
RESEPI SAMBAL TOMATO IKAN BILIS GORENG
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- ½ mangkuk ikan bilis (guna mangkuk gulai)
- 1 inci belacan
- minyak sikit untuk goreng
Bahan-bahan ini digoreng bersama terlebih dulu hingga masak dan ketepikan
Tumbuk Kasar :
- 4 biji cili merah dipotong kasar
- 2 biji tomato dipotong 8
- 5 ulas bawang kecil
- 3 ulas bawang putih
Bahan lain :
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu besar gula (ikut selera nak sedap macam mana)
- 1 inci gula melaka (kak long guna gula kabung sebab tu je yang ada)
CARA PENYEDIAAN SAMBAL TOMATO IKAN BILIS GORENG :
▶ Tadi dah goreng ikan bilis + belacan kan
▶ Sekarang letak sikit minyak dan goreng bahan tumbuk.
▶ Kacau rata sampai keluar minyak dan masukkan ikan bilis + belacan tadi. Gaul kejap.
▶ Masukkan pula gula melaka tadi sampai hancur. Baru masukkan garam dan gula. Rasakan. Kalau kurang ummph tambah apa yang patut.
▶ Taadaa dah siap
Kredit Resepi – Tengku RoseElyza Raja Muhammad
KERABU IKAN BILIS
Biasanya kita dengar kerabu kerrang, kerabu perut, taugeh. Haa kali ni, kerabu ikan bilis pula masuk dalam senarai.
Yang belum pernah cuba, boleh lah rasa. Rasa dia sangat sedao dan nak makan ratah pun tak de masalah. Boleh buat lebih sikit untuk puas makan.
RESEPI KERABU IKAN BILIS
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- Ikan bilis – digoreng
- 1 biji lemon atau 6 biji limau kasturi – ambil jusnya
- 3 sudu besar sos ikan
- Garam dan gula secukupnya
Bahan hiris:
- 1 biji bawang kuning (bawang holland)
- 5 helai daun limau purut
- 5 batang kacang panjang
- 1 batang bunga kantan
- 6 biji cili padi
- 3 batang serai
CARA PENYEDIAAN KERABU IKAN BILIS :
▶ Satukan jus lemon, sos ikan, garam dan gula secukup rasa.
▶ Masukkan ikan bilis dan bahan2 yang dihiris. Kacau rata. Siappppppp!
▶ Bolehlah dihidangkan dengan nasi panas!
Kredit Resepi – Resepi Ibu
SAMBAL TELUR IKAN BILIS
Waah! Sedapnya sambal telur dengan ikan bilis. Ikan bilis ni rangup sebab digoreng asing dan tidak digaulkan bersama. Jadi, rasa dia memang akan kekal rangup lah bila kita makan.
Sambal pulak manis-manis pedas, makan dengan telur mata separuh masak. Marvellous!
RESEPI SAMBAL TELUR IKAN BILIS
Bahan-Bahan yang digunakan adalah :
- 2 biji telur, digoreng mata kerbau
- 1 genggam ikan bilis (digoreng garing)
- 1 pokok daun bawang (pilihan)
- Daun salad secukupnya (pilihan)
Bahan Sambal Tumis :
- 1 keping asam keping
- Garam dan gula secukup rasa
- Bahan kisar
- 1 biji bawang besar
- ¾ inci belacan
- Segenggam cili kering yang telah digunting,rebus dan basuh.
CARA PENYEDIAAN SAMBAL TELUR IKAN BILIS :
▶ Mula-mula tumiskan bahan kisar. Tambahkan asam keping dan terus masak sehingga cili naik minyak.
▶ Kemudian masukkan garam, gula dan sedikit air agar ia tidak terlalu kering.
▶ Tutup api.
PENYEDIAAN SAMBAL TELUR IKAN BILIS.
▶ Susun daun salad, kemudian letakkan telur yang telah digoreng, tuangkan sambal tumis dan ratakan ia.
▶Akhir sekali taburkan ikan bilis yang telah digoreng garing.
Kredit Resepi – Resepi.My
SAMBAL KENTANG IKAN BILIS
Sambal kentang ikan bilis ni memang jadi kegemaran ramai orang. Kalau makan di kedai waktu tengah hari, pasti aka nada lauk ni sebagai lauk pilihan.
Ada juga yang buat sebagai jualan atas talian. Packingkan dalam bekas atau plastic, dan poskan kepada pelanggan. Jadi, jom kita buat sendiri sebab rasa sedap dan nak buat pun mudah!
RESEPI SAMBAL KENTANG IKAN BILIS
Bahan-bahan yang digunakan adalah :
- 2 biji bawang besar*
- 4 ulas bawang putih*
- 12 tangkai cili kering (dipotong dan direndam dengan air panas)*
- Minyak masak
- 3 biji ubi kentang
- 150 g ikan bilis
- 3-4 kepingan lengkuas
- 2 sudu besar gula pasir
- 3 sudu besar gula melaka
- 1/3 cawan air asam jawa
- 1 sudu besar cuka makan (saya guna perahan lemon)
- ¼ sudu kecil kiub ayam
- ¼ sudu kecil garam
CARA PENYEDIAAN SAMBAL KENTANG IKAN BILIS :
▶ Kupaskan ubi kentang dan hiris nipis. Gaulkan ubi kentang bersama garam biarkan air kentang keluar seketika.
▶ Apabila air kentang sudah keluar, toskan kentang (tujuannya bagi memastikan ubi kentang sentiasa rangup)
▶ Bersihkan ikan bilis dan toskan. Kemudian panaskan minyak, goreng kentang sehingga keperangan dan rangup (kena kerap kacau sebab kentang mudah hangit dan masak tidak sekata).
▶ Angkat dan ketepikan. Then, goreng ikan bilis pula hingga warna keperangan dan rangup. Angkat dan ketepikan.
▶ Kisarkan bahan yang bertanda “*” (jangan lupa masukkan 1 sudu besar minyak masak bagi menghancurkan biji cili kering). Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan hirisan lengkuas.
▶ Apabila sambal sudah pekat, masukkan gula pasir, gula melaka, air asam jawa,cuka makan/ jus lemon dan kiub ayam. Masak sambal hingga warnanya bertukar menjadi sedikit gelap dan pekat. Kemudian, perisakan dengan garam. Kacau rata dan tutup api.
▶ Pindahkan sambal ke dalam bekas lain. Biarkan ia suam² sebentar. Kemudian, gaulkan bersama ubi kentang dan ikan bilis yang telah digoreng tadi. Siap! Bolehlah simpan dalam bekas kedap udara ye.
Kredit Resepi – Zaidatul Aribah
Lepas ni kalau ada ikan bilis lebih dekat rumah, boleh lah buat sebagai salah satu menu masakan kita. Ikan bilis yang ada jangan dibiarkan lama tak digunakan, nanti akan jadi hapak baunya.
So, jangan lupa kongsikan dekat facebook masing-masing ye, supaya ramai lagi yang mendapat manfaat macam mana nak buat sambal ikan bilis yang ada.